Tentang Kami

Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah, Malaysia

Sabtu, 21 Ogos 2010

Unit Khidmat Penyayang

Sejak pengistiharan Tahun Antarabangsa Orang Kurang Upaya 1980 dan pelancaran “The World Programme of Action Concerning Disabled Persons 1982” Malaysia turut memperkenalkan berbagai-bagai polisi dan program untuk membaiki kualiti kehidupan golongan orang kurang upaya. Penyertaan dan penglibatan komuniti bermula apabila komuniti mengambil bahagian dalam mengintegrasi golongan orang upaya. Kerajaan pula memulakan dasar dengan propaganda “Kebajikan Tanggungjawab Bersama”.

Seperti lain-lain negara membangun, sejak mencapai kemerdekaan Malaysia telah mengalami pertumbuhan dari aspek sosial dan ekonomi. Selaras dengan itu, Malaysia telah membentuk Dasar Kebajikan Negara (DKN) pada tahun 1990. DKN bertujuan meningkatkan kesejahteraan dan kestabilan masyarakat untuk pembangunan negara. Selaras dengan hasrat kerajaan melalui Wawasan 2020, ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang menitikberatkan pembangunan menyeluruh dan seimbang kepada semua masyarakat. Dasar dan program kepada golongan orang kurang upaya di negara ini adalah berdasarkan strategi dan matlamat yang terkandung dalam Dasar Kebajikan Negara untuk mencapai keyakinan diri dan persamaan peluang di samping mewujudkan semangat saling bantu membantu serta berbudaya penyayang.

Pertumbuhan ekonomi yang dicapai telah memberi peluang kepada semua masyarakat memperolehi pengagihan yang adil. Pengumpulan kekayaan negara di tangan segelintir individu diharapkaan tidak lagi berlaku demi kestabilan negara, setiap rakyat patut diberi peluang dan hak yang sama rata untuk menikmati kejayaan negara termasuk kepada golongan orang kurang upaya. Bagi mencapai Wawasan 2020 ini Malaysia telah mengadakan berbagai perancangan, strategi, program dan aktiviti dengan kolaborasi berbagai sektor untuk mewujudkan negara maju melalui rancangan-rancangan pembangunan yang cekap dan pentas.

Sebagai langkah proaktif dan selaras dengan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara, satu program pendampingan sosial atau “Social Outreach” untuk menentukan golongan masyarakat yang memerlukan tidak tercicir dan mendapat bantuan dan kemudahan yang diperlukan telah dilaksanakan sebagai projek perintis oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada tahun 2002. Program ini dinamakan Unit Khidmat Penyayang (Mobile Unit) @ Unit MAYANG, yang mana unit ini akan bergerak dari satu kawasan mengikut jadual yang telah ditetapkan supaya masyarakat setempat berpeluang mendapat perkhidmatan yang sewajarnya. Antara perkhidmatan yang boleh disediakan adalah, Permohonan Perkhidmatan seperti Bantuan Kewangan, Khidmat Nasihat Dan Kaunseling, Pendaftaran OKU, Advokasi Dan Penerangan Mengenai Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Akta-Akta Dan Perkhidmatan Lain Di Bawah Jabatan, Perpustakaan Permainan Untuk Kanak-Kanak, Pusat Bayaran Bantuan Dan Unit Operasi Bencana Semasa Berlaku Bencana Alam.

UKP berkonsepkan kepada perkhidmatan bergerak untuk mengendalikan khidmat bantuan dan rujukan secara berpusat bagi membantu individu, komuniti dan golongan lain yang memerlukan di kawasan setempat melalui perkhidmatan dan program yang disediakan pleh JKM, agensi lain dan Pertubuhan Sukarela Kebajikan.













GOLONGAN YANG HARUS DIBERI PERHATIAN:
  • Warga emas/orang tua
  • Orang kurang upaya(OKU)
  • Anak Yatim
  • Golongan miskin
Sebagai masyarakat yang prihatin, kita seharusnya peka terhadap apa yang berlaku disekeliling kita terutamanya terhadap golongan yang kurang bernasib baik. Hulurkanlah bantuan untuk meringankan beban mereka terutama terhadap golongan miskin, warga emas yang tidak mempunyai waris,golongan kanak-kanak terbiar, orang kurang upaya dan anak-anak yatim. Mereka juga insan yang memerlukan kasih sayang dan penghormatan disisi masyarakat. Diharapkan pertubuhan badan seperti unit khidmat penyayang ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka ini.

Perkhidmatan komuniti

Perkhidmatan komuniti secara amnya merujuk kepada perkhidmatan yang disediakan oleh pihak yang tertentu kepada keseluruhan komuniti. Ia juga merupakan satu jenis kerja sosial yang sesuai digunakan untuk mengukuhkan dan memperbaik kualiti hidup komuniti di Malaysia. Jabatan Kebajikan Malaysia telah menggariskan beberapa objektif utama program perkhidmatan kominiti ini dilaksanakan, antaranya ialah untuk membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang kehidupan sosial dalam komuniti. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan penglibatan secara demokrasi serta mewujudkan masyarakat penyayang di samping membantu komuniti untuk menyelesaikan masalah sosial secara 'self-help' dan bertindak dengan sewajarnya.

Pelbagai jenis projek yang dijalankan oleh jabatan ini dalam usahanya membantu komuniti meningkatkan kualiti hidup seperti program khidmat masyarakat, program pendidikan sosial dan kerohanian serta program latihan kemahiran. Program yang dijalankan oleh jabatan ini bukan sahaja memberi tumpuan kepada masyarakat dalam dan luar bandar, tetapi juga termasuk klien jabatan dan kakitangan jabatan itu sendiri.



Terdapat juga perkhidmatan maklumat kepada komuniti yang disediakan untuk membantu masyarakat mencpai maklumat yang diperlukan dalam kehidupan seharian mereka. Perkhidmatan ini disediakan untuk komuniti yang tidak mempunyai akses terus kepada maklumat dan menghadapi pelbagai masalah berkaitan kehidupan seharian. Perkhidmatan kepada komuniti ini bukan sahaja disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi juga disediakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Selain itu, perkhidmatan seperti ini juga mendapat sambutan oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang lain.



Contohnya, perkhidmatan pergigian yang disediakan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada komuniti setempat.  USIM juga telah membelanjakan RM30juta dalam Rancangan Malaysia Ke-8 dan Rancangan Malaysia Ke-9 untuk tujuan pembelajaran bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik dan selesa kepada komuniti setempat. Program-program perkhidmatan komuniti seperti ini amat berkesan untuk pelajar USIM sendiri mempraktikkan apa yang dipelajari secara teori. Bukan itu sahaja, malah program seperti ini mampu membantu golongan komuniti yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan khidmat pergigian secara berkala.