Pepatah terbilang Melayu lama yang berbunyi “bagai kacang lupakan kulit” mungkin paling sesuai untuk membicarakan isu golongan warga emas yang sering dilupakan dan diabaikan oleh semua pihak. Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran tertentu seperti warga emas atau golongan veteran. Takrifan ‘warga emas’ adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat sahaja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling. Ini merupakan satu tanggapan yang salah. Walaupun tua, mereka masih bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.
Mungkinkah tanggungjawab menjaga dan menyara ibu bapa yang yang sepatutnya dilakukan secara senang hati oleh anak-anak akan dilihat menjadi satu paksaan melalui kewujudan akta khas mewajibkan anak-anak menanggung kos sara hidup ibu bapa mereka sehingga melenyapkan nilai-nilai keikhlasan. Menjaga warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah individu, sebaliknya melibatkan semua pihak terutama institusi keluarga, masyarakat dan kerajaan. Masyarakat sekarang harus menanam semangat bertanggungjawab kepada semua warga tua. Perancangan yang sempurna perlu diadakan untuk menangani masalah yang akan dihadapi oleh warga tua.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada warga emas. Salah satunya ialah warga emas tidak perlu menunggu terlalu lama semasa menjumpa doktor. Mereka akan diberi keutamaan semasa merawati di klinik awam. Yuran rawatan mereka adalah lebih murah berbanding dengan orang ramai. Selain itu, kebanyakan jabatan awam memberikan keutamaan kepada warga emas. Pegawai kerajaan akan cuba sedaya upaya untuk menolong warga emas.
Selain itu, kerajaan membantu warga emas yang tidak berkemampuan untuk membeli peralatan alat tiruan atau sokongan seperti kaki palsu, tangan palsu, calipers, tongkat tangan atau ketiak, kerusi beroda, alat pendengaran, cermin mata khas dan lain-lain yang disyorkan oleh doktor atau pakar perubatan. Ini adalah bertujuan meningkatkan keupayaan warga emas dan seterusnya dapat menjalani kehidupan dengan lebih berkuali tanpa bergantung kepada orang lain.
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Emas peringkat kebangsaan diadakan. Sambutan ini merupakan satu pengiktirafan kepada warga emas agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Semua agama mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyediakan RM100 sebagai tanda penghargaan terhadap warga emas dalam negeri tersebut. Kerajaan membuat keputusan untuk mengirim RM100 di bawah Program Penghargaan Warga Emas ke alamat penerimanya. Ini adalah untuk memudahkan pengagihan wang tersebut agar warga emas tidak perlu bersusah-payah untuk berkunjung ke pusat khidmat ADUN untuk mendapat sumbangan wang sebanyak RM100.
Kebanyakan negara mengadakan institusi bagi warga emas yang tidak mempunyai tempat tinggal. Malaysia telah mempunyai beberapa institusi untuk warga emas. Pelbagai perkhidmatan diadakan bagi membolehkan mereka tinggal dengan selesa. Penubuhan institusi warga emas sudah pasti tidak akan bertepatan dengan kehendak penghuninya. Oleh itu, pihak berkuasa harus mengambil inisiatif awal di dalam mengadakan latihan kepada pekerja institusi agar dapat melayan semua penghuni dengan baik. Pekerja boleh dilatih dengan mengadakan satu pusat latihan khas.
Ramai telah memperkatakan usaha-usaha ke arah penjagaan warga emas dalam masyarakat sekarang. Konsep penjagaan warga emas masih lagi dianggap tidak mempunyai ketentuan yang tetap iaitu masyarakat dan pihak berkuasa seolah- olah menganggap bahawa penjagaan warga emas hanya perlu dilakukan kepada aspek fizikal sahaja tanpa menitikberatkan aspek emosi mereka. Masyarakat dan pihak berkuasa seharusnya perlu lebih peka terhadap konsep penjagaan warga emas dengan menyediakan program penjagaan yang lebih sempurna dalam semua aspek baik fizikal.
Oleh itu, sudah sampai masanya masyarakat dan pihak berkuasa di Malaysia menyusun program-program dan dasar-dasar yang lebih realistik untuk berhadapan dan seterusnya menangani situasi ini dengan cara yang terbaik. Contoh program daripada pihak kerajaan yang berjalan lancar di negara membangun adalah seperti keterlibatan oleh pihak kerajaan di dalam perkhidmat kesihatan dan peruntukan pendapatan saraan yang munasabah untuk warga emas. Manakala masyarakat pula boleh memberikan sumbangan mereka menerusi kerja-kerja amal yang dilakukan tanpa memikirkan sebarang bentuk balasan.
Malaysia boleh mengikut jejak langkah yang telah dijalankan oleh negara membangun dalam penjagaan warga emas. Misalnya Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang menyediakan bantuan sepenuhnya terhadap kepentingan dan keselesaan warga emas. Dengan kekayaan yang ada, Amerika mampu untuk menyara warga emas mereka yang berumur lebih dari 65 tahun ke atas, bantuan yang diberi adalah di bawah peruntukan 'Social Security Act'. Pelbagai akta telah diperuntukan bagi warga emas, contohnya 1) Akta Warga Emas Amerika 1965; di bawah akta ini berbagai agensi dilantik bagi memastikan keberkesanaan program saraan warga emas Amerika berjalan dengan baik, 2) Akta Penjagaan Kesihatan 1965; yang menyara semua pembelanjaan kesihatan warga emas Amerika and 3) Diskriminasi Umur dalam Akta Pekerjaan 1967; akta ini menamatkan umur pesaraan bagi semua rakyat Amerika dan mengharamkan pemberian kerja berasaskan umur. Malaysia mampu menjayakan program penjagaan warga emas ini dengan melihat akan program- program yang telah dijalankan oleh negara yang telah berjaya dalam perlaksanaannya tetapi mestilah mengikut acuan kita sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan